1. Apa yang dimaksudkan dengan cukai taksiran?
Cukai taksiran ialah cukai yang dikenakan ke atas pegangan yang terletak di dalam kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang seperti rumah kediaman, harta perniagaan (kedai, komplek, hotel dsbnya), harta perindustrian (kilang, perlabuhan dsbnya) dan tanah (kosong tanpa bangunan, pertanian, tanah yang diberi kelulusan untuk tatasusunan.
2. Bolehkah cukai taksiran diberi pelepasan?
Cukai taksiran boleh diberi pelepasan jika bangunan tersebut dirobohkan atau dimusnahkan dengan sebab-sebab kebakaran, angin ribut atau sebab-sebab lain.
3. Mengapa cukai taksiran dikenakan ke atas tanah oleh MBPP sedangkan ianya telah dikenakan cukai hasil oleh Pejabat Tanah?
Cukai tanah yang dikenakan ke atas setiap tanah menurut Kanun Tanah Negara 1966 adalah berdasarkan kepada hakmilik yang dilupuskan oleh Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara 1966; sedangkan Cukai taksi ran yang dikenakan oleh MBPP adalah mengikut peruntukan di bawah Akata Kerajaan Tempatan 1976.
4. Adakah konsesi diberi jika sesebuah rumah tersebut diduduki oleh pemunyanya sendiri?
Tidak. Tidak ada sebarang peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang membolehkan MBPP memberi konsesi atas bayaran cukai taksiran bagi rumah yang diduduki sendiri.
5. Adakah cukai taksiran dikenakan bagi bangunan yang tidak diduduki atau kosong?
Ya, cukai taksiran tetap dikenakan walaupun sesebuah bangunan atau rumah itu kosong. Walaubagaimanapun, jika bangunan tersebut kosong dan untuk disewakan, maka para pemilik bolehlah memohon agar bayaran cukai taksiran mereka dipulangkan. Proses ini dipanggil pulangan balik hasil.
|